Monday, February 3, 2014

BOLA SEPAK MALAYSIA : KE MANA ARAH TUJU??

KUALA LUMPUR - Kemelut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sejak akhir-akhir ini boleh diselesaikan secara baik menerusi meja rundingan.
Ini kerana peranan kedua-duanya penting dalam menentukan hala tuju bola sepak Malaysia.
Pensyarah Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sheikh Kamaruddin Sheikh Ahmad berkata, sebagai menteri dan kerajaan, Khairy berhak untuk menyuarakan pandangannya.
Katanya, FAM juga pada masa yang sama mempunyai kebebasan bagi meluahkan rasa tidak puas hati, namun persoalannya sampai bila suasana 'tegang' ini mahu berterusan.
Tambah Sheikh Kamaruddin, sewajarnya kedua pihak duduk semeja bersama pakar-pakar sukan di negara ini membincangkan cara terbaik memperkasakan sukan bola sepak negara.
"Idea bagi mempertingkatkan bola sepak amat diperlukan kerana kita tidak mahu sukan ini merosot.
"Bagi saya Menteri Belia dan Sukan mempunyai kuasa untuk memberikan teguran kerana apabila pasukan bola sepak beraksi di pentas antarabangsa mereka tidak membawa nama mana-mana individu tetapi membawa nama Malaysia.
"Pada masa yang sama juga pihak pengurusan FAM perlu lebih cemerlang dalam menjalankan tugas mereka kerana pengurusan yang baik mampu mempertingkatkan kualiti sesuatu sukan yang ada," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Khairy secara terbuka memberitahu bahawa beliau sudah bosan dengan FAM yang disifatkan tidak boleh menerima sebarang teguran daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, Sheikh Kamaruddin yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan berpendapat, terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan oleh FAM jika mahu meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini.
"Antara yang wajar diberikan perhatian serius oleh FAM ketika ini ialah melibatkan aspek kejurulatihan. Di sini saya maksudkan jurulatih bukan sahaja perlu mahir dalam merencana corak permainan tetapi harus menguasai pengetahuan sains sukan.
"Dalam masa sama juga FAM perlu menilai kembali keputusan membawa masuk pemain import di negara ini adakah banyak membantu meningkatkan kualiti pemain kita atau sekadar mahu menggalakkan orang ramai ke stadium," ujar Sheikh Kamaruddin.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20131111/su_02/Meja-rundingan-jalan-terbaik-atasi-kemelut#ixzz2sGqxBIDi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: